Pada 14 Mei 2017 hingga 20 Mei 2017, Japan Science and Technology (JST) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun telah menganjurkan Sakura Science Exchange Program In Science yang diadakan di Jepun. Dalam program ini, Malaysia berada dalam kumpulan 3 yang mana melibatkan 6 lagi Negara lain iaitu, Filipina, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan. Malaysia telah menerima jemputan untuk menghantar 30 orang pelajar dan 6 orang supervisor. Daripada 30 orang pelajar yang dijemput, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) telah bersetuju untuk menghantar 20 orang pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 10 orang pemenang National Science Challenge (NSC) 2016. Daripada 20 orang pelajar SBP itu pula, 2 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (SMSKP) telah berjaya dipilih untuk mengikuti program ini. Pelajar tersebut ialah:
- Muhammad Afiiny Bin Zulkafli – 5 Juara
- Nur Alia Maisarah Binti Kamarulzaman – 4 Rajin
Setiap SBP sebenarnya diminta untuk menghantar 2 orang calon bagi pemilihan untuk program ini dan daripada calon yang dihantar, hanya 20 orang sahaja yang dipilih untuk mengikuti program ini. Kriteria pemilihan program ini berdasarkan:
- Keputusan Peperiksaan Akhir Tahun (PAT) dalam Sains, Matematik dan Bahasa Jepun dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 3.
- Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)
- Penglibatan Kokurikulum (Kebangsaan @ Antarabangsa)
Program ini ditaja sepenuhnya oleh JST termasuklah penginapan, pengangkutan dalam dan luar Negara, makan minum dan insurans. Program seumpama ini diwujudkan bertujuan untuk menerapkan minat pelajar di seluruh dunia khususnya Negara-negara Asia dalam bidang sains di samping memperkenalkan budaya Jepun kepada pelajar yang terlibat. Oleh itu, untuk mencapai objektif ini, para peserta telah dibawa melawat ke universiti-universiti, sekolah dan kolej yang terkenal. Antara tempat yang dilawati peserta ialah Junten High School, Keio University dan Kisarazu Kosen. Banyak ilmu dan kemahiran telah dipelajari para peserta program ini.