Pengorbanan ibu ikat perut terbalas

Wartawan Sinar Harian
December 23, 2014

pt3 smskpJITRA – Pengorbanan pasangan suami isteri dalam memenuhi keperluan pelajaran anaknya membuahkan hasil apabila mencapai keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), yang diumumkan, semalam.
Ahmad Satmi Mohd Sobri, 48, yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik dan Noraini Shaari, 49, seorang tukang cuci hanya mampu tersenyum bangga selepas anak mereka, Nur Ain Izzati Ahmad Satmi, 15, mendapat keputusan 10A.
Nur Ain Izzati yang juga pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu berkata, meskipun dia belajar di sekolah berasrama penuh dan mendapat biasiswa, namun keluarganya memberi wang perbelanjaan kira-kira RM250 sebulan bagi melengkapi keperluan pembelajarannya.
“Keluarga saya memang susah dengan pendapatan isi rumah kurang RM2,000 sebulan, selain terpaksa menanggung tiga adik beradik lain yang masih belajar, namun ibu bapa saya tidak pernah berkira soal pelajaran kami.
“Malah, ibu sendiri kata dia sanggup mengikat perut asalkan saya mendapat apa yang diperlukan dalam pelajaran dan sentiasa menasihati supaya sentiasa fokus semasa dalam kelas,“ katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Nur Ain Izzati antara sembilan pelajar di SM Sains Kubang Pasu yang memperoleh keputusan cemerlang 10A membabitkan subjek Bahasa Melayu Ujian Bertulis, Bahasa Melayu (Lisan), Bahasa Inggeris Ujian Bertulis dan Bahasa Inggeris (Lisan).
Dia turut cemerlang dalam subjek Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu-Perdagangan dan Keusahawanan.
Dalam pada itu, secara keseluruhan, seramai 137 pelajar di SM Sains Kubang Pasu menduduki PT3 buat kali pertama, Oktober lalu.
Nur Ain berkata, dia juga akan memastikan ulang kaji pelajaran dibuat setiap malam selama sejam setengah supaya ilmu yang diperoleh sentiasa segar dalam ingatan.
“Selain itu, saya juga memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas dan merujuk guru sekiranya tidak faham sesuatu topik,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, setiap kali anaknya itu menduduki peperiksaan, dia akan melakukan solat hajat dan membaca Yasin supaya anaknya mudah menjawab soalan.
“Saya bagitahu Izzati, selain bantuan kewangan, hanya cara ini saya mampu membantu anak saya supaya sentiasa berjaya dalam pelajaran .
"Dan Alhamdulillah melalui usaha saya lakukan sebelum ini, dia juga berjaya memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tiga tahun lalu, “ katanya.

 

Dipetik dari : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/utara/pengorbanan-ibu-ikat-perut-terbalas-1.344081